Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan bahawa Malaysia tidak berada dalam situasi krisis, meskipun harga minyak mentah global telah menjunam lebih 50 peratus.

Bagaimanapun kata beliau, langkah-langkah pre-emptive perlu diambil bagi menghadapi perubahan senario ekonomi global yang diluar kawalan kerajaan.

Najib mengulas tentang laporan serta kebimbangan dan pertanyaan dari pelbagai pihak terutamanya berkait harga minyak dan kedudukan nilai matawang ringgit sejak akhir ini.

Menurut beliau, harga minyak mentah global enam bulan kebelakangan ini telah menjunam lebih 50 peratus di mana salah satu sebabnya ialah lebihan bekalan serta permintaan global yang lemah.

Ia juga dikatakan berpunca oleh pengeluaran gas dan minyak shale yang meningkat ketara di Amerika berikutan kemajuan teknologi pengeluaran minyak.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan pengubahsuaian dan intervensi yang perlu dilakukan bagi menghadapi landskap ekonomi dunia yang berubah.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kejatuhan harga minyak sebanyak 60 peratus membawa implikasi kepada ekonomi dunia, dan Malaysia tidak terkecuali.

Berikut ialah intipati Perutusan Khas Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

* Persekitaran/percaturan ekonomi dunia telah berubah. Ini memberi impak kepada Malaysia, antara negara mempunyai dagangan terbesar di dunia.

* Beberapa perkara pokok yang kerajaan unjurkan bagi merancang ekonomi dan kewangan negara, perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.

* Sebagai kerajaan bertanggungjawab, akan terus mencari jalan mempastikan negara terus membangun dan kesejahteraan rakyat terjamin.

*Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak berada dalam keadaan krisis ekonomi.

*Kerajaan telah menyemak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak mentah kepada US$55 setong bagi 2015.

*Kejatuhan harga minyak mentah dunia secara langsung kurangkan pendapatan negara yang digunakan untuk tujuan pembangunan.

*Semua langkah yang diambil akan memastikan ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan.

IKUTI UCAPAN PENUH PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI TENTANG PERKEMBANGAN EKONOMI