Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata pihaknya tidak dijemput untuk menjadi anggota dalam Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP).

Ujarnya, mungkin ia berlaku kerana pihak terlibat menganggap SPR tidak sesuai untuk menyertai jawatankuasa berkenaan.

"Kami tidak dijemput untuk menyertai jawatankuasa dana politik di Malaysia, mungkin (kerana) tidak sesuai, saya tidak tahulah pada pandangan jawatankuasa.

"Kalau kami dijemput (jawatankuasa) kami terima, kalau kami tidak dijemput, tidak mengapa," katanya semasa sidang media selepas majlis Doa Selamat dan Bacaan Yasin sempena ulang tahun SPR ke-58 di ibu pejabatnya di Putrajaya.

Penubuhan JKNMPP itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan lalu bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

Jelasnya, setiap pemimpin politik memerlukan perbelanjaan besar untuk membiayai kos melibatkan pilihan raya.

"Setiap pilihan raya umum atau kecil, parti-parti politik ini melaksanakan tugasnya bukan semata-mata untuk mengadakan pilihan raya.

"Banyak tugas lain, ada yang menyewa bangunan, ada parti sediakan kakitangan untuk bertugas, ada juga terpaksa beli peralatan dan sebagainya dan ada yang terlibat persidangan, kursus, semua ini perlukan duit," ujarnya.

Bagaimanapun kata Abdul Aziz, SPR berharap jawatankuasa itu nanti akan mengambil kira semua aspek termasuk model-model yang digunakan beberapa negara.

Menurutnya, ada negara menggunakan dana politik dan ada hadnya dan ada juga yang menetapkan bagaimana, siapa serta berapa had sumbangan.

Malah katanya, ada juga yang mengambil model melarang orang yang terlibat dalam politik untuk menyumbang.

"Ini semua perlu diambil kira jawatankuasa ini supaya apabila ditubuh undang-undang maka jelas setiap ahli politik boleh kutip dana politik selaras dengan undang-undang," katanya.

Ditanya sama ada SPR perlu diberikan kuasa lebih besar dalam mengaudit perbelanjaan pilihan raya, beliau berkata, ia merupakan ia sesuatu yang perlu.

Bagaimanapun katanya, jika SPR tiada kuasa, badan audit lain termasuk Jabatan Audit Negara masih boleh melakukannya.

Beliau pada masa sama menyifatkan, dana politik adalah penting kerana setiap parti politik perlu menanggung kos yang besar dan tidak mampu menampungnya dengan hanya bergantung kepada yuran atau gaji.

Justeru katanya, SPR berpendapat penubuhan jawatankuasa berkenaan wajar sekali gus mengelak sebarang perkara-perkara berbangkit.

"Ini satu keputusan yang baik supaya parti-parti berkenaan tidak akan ditohmah berbagai-bagai kerana sumber kewangan ini datangnya daripada orang yang berkepentingan, mungkin dari sumber haram yang tak patut disumbang dan orang tertentu yang terlibat perkara diingini.

"Jadi ini akan diperhalusi oleh jawatankuasa bagi memastikan yang terbaik untuk Malaysia," tegas beliau.

Abdul Aziz berkata, pada masa ini, SPR hanya bertanggungjawab menerima laporan perbelanjaan selepas pilihan raya yang merangkumi perbelanjaan sepanjang tempoh rasmi kempen bermula daripada penamaan calon sehingga keputusan diumumkan.

Bagaimanapun katanya, laporan itu mesti dikemukakan oleh calon pilihan raya dengan disertakan resit atau bil perbelanjaan dengan had RM200,000 bagi Ahli Parlimen dan RM100,000 bagi ADUN.

"Dulu kita syor naikkan jumlah tapi ada kebaikan dan keburukan dan syarat berkenaan dikekalkan.

"Namun, berapa banyak 'tabung' dia itu di luar bidang kuasa SPR kerana bidang kuasa SPR hanya seperti yang saya sebut tadi," jelasnya.

Tambahnya, calon berkenaan juga dianggap tidak dapat bertanding pilihan raya dalam tempoh lima tahun seandainya tidak mengemukakan laporan yang diperlukan.