Naib Presiden PKR, Tian Chua telah sekali lagi ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Perkara itu dimaklumkan beliau melalui posting di akaun Twitternya sebentar tadi yang turut disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Tian sebelum itu telah menghadiri mesyuarat town hall bersama penduduk Parlimen Batu yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.




Tian sebelum ini pernah ditahan pada Jumaat lepas berhubung pembabitannya dalam perhimpunan yang sama baru-baru ini.

Ahli Parlimen Batu itu bagaimanapun telah dibebaskan tanpa ikat jamin selepas ditahan reman selama satu malam.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan bahawa aktivis politk, Hishamudin Rais dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang ditahan semalam, akan ditahan reman selama tiga hari.

Pada Khamis, enam individu ditangkap polis sempena demonstrasi duduk bantah #KitaLawan di Dataran Merdeka.

Mereka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang dan Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Menurut kenyataan PKR pada Jumaat, enam individu berkenaan termasuk dua ADUN PKR, ditahan mengikut Seksyen 186 (menghalang penjawat awam dari melaksanakan tugas) dan 353 (mengguna kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada melaksanakan tugas) Kanun Keseksaan.