Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini ditahan mengikut Seksyen 134 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad dalam akaun Facebooknya mengesahkan perkara tersebut.

"Saya hanya dimaklumkan oleh Khalid Samad bahawa dia telah ditangkap oleh polis pada 3.20 pagi di rumahnya dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi."


Pada Sabtu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua telah ditahan semula berhubung perhimpunan #KitaLawan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Turut ditahan ialah Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat, Fariz Musa.

Semalam, perhimpunan #KitaLawan disertai kira-kira 500 orang yang berarak dari Masjid Jamek sebelum berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo, kira-kira pukul 4.10 petang.

Mereka bersurai sepenuhnya kira-kira pukul 7 petang di lokasi terakhir berhampiran KLCC.