Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyasar untuk melahirkan kira-kira 600 usahawan Orang Asli dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11).

Timbalan Menteri kementerian itu Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah berkenaan 80 usahawan dalam kalangan kaum itu akan dilahirkan pada tahun hadapan, manakala ketika ini terdapat 500 usahawanan Orang Asli berjaya dilahirkan.

"Namun begitu usaha untuk melahirkan usahawan di kalangan kaum itu bukanlah tugas mudah. Inilah peranan yang dimainkan oleh KKLW dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk melaksanakan program dan kursus keusahawanan bagi membimbing mereka hingga berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Masyarakat Orang Asli Terengganu dan Kelantan Ke Arah Transformasi Terengganu Baharu (TTB) di sini. Turut hadir Ahli Dewan Negara (Senator Orang Asli) Datuk Isa Abd Hamid.

Nanta berkata, bagi tujuan itu kerajaan memperuntukkan RM2 juta bagi membantu melahirkan usahawan Orang Asli untuk membina premis perniagaan, bantuan peralatan perniagaan dan kursus serta seminar keusahawanan.

Katanya selain bantuan daripada KKLW dan JAKOA, usahawan Orang Asli juga menerima bantuan daripada agensi kerajaan yang lain seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Beliau berkata inilah bukti bahawa kerajaan sememangnya membantu usahawan Orang Asli dengan bantuan yang secukupnya disediakan melalui pelbagai sumber.

Nanta berkata, kementerian melalui JAKOA turut memberi perhatian terhadap pembinaan kemahiran dan kerjaya masyarakat Orang Asli melalui Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK).

Katanya ia merupakan satu program yang dilaksanakan bertujuan meningkatkan kemahiran kumpulan sasar iaitu belia-belia Orang Asli supaya mereka mampu mendapat pekerjaan atau dapat mengusahakan perniagaan sendiri bagi menjana pendapatan yang lebih baik.

Beliau berkata, para peserta dilatih meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang antaranya pengurusan peruncitan, menyelenggara motosikal, minyak dan gas, membaiki komputer, seni solekan, pastri dan kulinari, membaiki telefon pintar, kimpalan dan sebagainya.

"Program ini telah dilaksanakan sejak 2011 hingga 2016 dan berjaya melahirkan seramai 4,501 pelatih dalam pelbagai bidang pekerjaan serta perusahaan.

"Pada tahun ini seramai 2,040 pelatih telah terpilih mengikut program PLKK melalui pengambilan secara dua fasa di mana fasa pertama sebanyak 10 buah syarikat telah dilantik yang melibatkan 16 jenis kursus manakala fasa kedua sebanyak 35 jenis kursus kemahiran ditawarkan," katanya.

Nanta berkata, bagi masyarkat Orang Asli di Terengganu pula dimaklumkan 12 orang telah mengikuti PLKK sejak 2015 hingga 2017 di dalam bidang pastri, automotif, juru dandan rambut dan mekanik.

Katanya buat julung kalinya pada tahun ini terdapat seorang peserta PLKK Orang Asli dari Terengganu telah berjaya menamatkan latihan dalam bidang pastri tahap dua di Suzimie Culinary Traning Kuala Lumpur dengan prestasi yang cemerlang berdasarkan keputusan ujian.

Beliau berkata peserta itu kini sedang bekerja di Grand Campbell Hotel Kuala Lumpur dan mendapat tawaran untuk mengikuti latihan praktikal serta bekerja selama empat bulan di sebuah hotel di London mulai Januari ini.

--BERNAMA