Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengkaji antibodi pesakit yang telah discaj daripada hospital setiap tiga bulan.

Ini kerana jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia bagi melihat kategori pesakit tersebut dan menilai sama ada berlakunya kesan sampingan pada paru-paru dan imuniti pada tubuh.

“Setiap tiga bulan, kita akan mengkaji antibodi untuk pesakit yang telah discaj daripada hospital dan kalau kita lihat daripada kajian lain, bukan daripada kita, antibodi tersebut mungkin tidak bertahan.

“Iaitu selepas lapan minggu dia semakin berkurangan, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telahpun mengeluarkan satu kenyataan mengatakan bahawa tiada 'immunity passport'.

“Ia bererti, kalau dijangkiti tidak semestinya tidak boleh dijangkiti lagi kerana antibodi yang terbina itu tidak cukup untuk pertahanan untuk jangkitan kedua dan sebagainya,” jelas beliau.

Tambah Dr Noor Hisham, pihaknya sedang menjalankan kajian susulan bagi melihat lima kategori yang mungkin melibatkan bekas pesakit:

1) Kategori satu, tiada gejala.

2) Kategori dua, mempunyai gejala.

3) Kategori tiga, mempunyai masalah radang paru-paru namun tidak memerlukan oksigen.

4) Kategori empat, mempunyai masalah radang paru-paru dan memerlukan oksigen.

5) Kategori lima, memerlukan alat bantuan pernafasan.