Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan pedalaman, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, beliau berkata pakar dan jururawat yang bertugas perlu diberikan latihan dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi penyampaian perkhidmatan di hospital masing-masing.

"Walaupun kemudahan tidak mencukupi...namun apa yang paling penting adalah penyampaian perkhidmatan yang baik. Oleh itu saya berharap pihak hospital sentiasa memantau keadaan pesakit yang datang agar diberi perkhidmatan terbaik," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja dan merasmikan Unit Hemodialisis di Hospital Tuaran, di sini hari ini.

Mengulas mengenai lawatannya, Dr Noor Hisham berkata pihaknya berbangga kerana Hospital Tuaran sentiasa menyampaikan perkhidmatan kesihatan terbaik di kawasan pedalaman.

"Walau bagaimanapun perkhidmatan itu perlu terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa," tambahnya.

Beliau juga berkata dari segi infrastruktur dan kemudahan Hospital Tuaran adalah antara hospital daerah yang terbaik di seluruh negara dan perlu dicontohi hospital daerah lain di Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai Unit Hemodialisis di hospital berkenaan, Dr Noor Hisham berkata ia diwujudkan pada 2012 kini beroperasi dengan 16 mesin yang boleh menampung seramai 50 pesakit.

"Dengan adanya kemudahan itu, kami yakin akan dapat menampung pertambahan pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis khususnya penduduk di sekitar daerah Tuaran," katanya.

-- BERNAMA