Kementerian Kesihatan (KKM) pada Isnin mengarahkan pihak syarikat yang mengedar peranti 'headphone' yang didakwa boleh mengurangkan dan mengawal kadar gula dalam darah supaya menghentikan penjualan dan pengedaran peranti itu serta-merta.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tahap keselamatan dan keberkesanan peranti berkenaan tidak dapat disahkan kerana semakan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP) mendapati ia tidak berdaftar di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

Sehubungan itu, beliau berkata penjualan dan pengedaran peranti itu perlu dihentikan serta merta sehingga ia diluluskan di bawah Seksyen 5 Akta 737 dan syarikat memperolehi lesen establismen yang sah di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

"Berdasarkan keperluan perundangan, sesuatu peranti perubatan yang hendak diimport, dieksport dan diletakkan dalam pasaran, hendaklah terlebih dahulu didaftarkan di bawah Seksyen 5 Akta 737.

"Dalam proses pendaftarannya tahap keselamatan serta keberkesanannya akan dinilai serta disahkan. Sebarang tuntutan perubatan yang dibuat hendaklah disokong dengan bukti-bukti saintifik dan klinikal selain peranti tersebut hendaklah memenuhi prinsip-prinsip keselamatan dan keberkesanan," kata dalam kenyataan pada Isnin.

Ia sebagai maklum balas terhadap artikel bertajuk "Headphone bantu kurangkan kadar gula pesakit diabetes" yang dilaporkan dalam sebuah portal bertarikh 20 Dis lepas sehingga menimbulkan pelbagai reaksi orang awam yang menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan dan keberkesanan peranti itu.

Dr Noor Hisham berkata penjualan dan pengedaran peranti perubatan yang tidak berdaftar atau tanpa lesen establismen yang sah merupakan satu kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada masa yang sama, katanya sebarang bentuk tuntutan perubatan berkaitan sesuatu peranti perubatan yang disiarkan bagi tujuan pengiklanan hendaklah mematuhi keperluan iklan yang digariskan mengikut Seksyen 44 Akta yang sama dan Peraturan (Iklan) Peranti Perubatan 2019.

Menurutnya, mana-mana orang yang membuat dakwaan yang mengelirukan atau palsu tentang sesuatu peranti perubatan di dalam iklan merupakan kesalahan dan jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanyai.

Orang awam terutama pesakit yang sedang menerima rawatan perubatan bagi penyakit kronik disaran supaya mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan berdaftar sebelum menggunakan mana-mana peranti selain menyemak status pendaftarannya dengan melayari portal rasmi PBPP https://portal.mda.gov.my/.

-- BERNAMA