Kementerian Kesihatan (KKM) menzahirkan kebimbangan bahawa pandemik COVID-19 boleh menjangkiti golongan berisiko tinggi termasuk warga emas dan kanak-kanak pada musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana, masyarakat terdedah kepada virus tersebut setiap kali keluar dan berkemungkinan membawa pulang virus itu ke rumah masing-masing.

Justeru, katanya masyarakat disaran agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi termasuk mencuci tangan sebelum bersentuhan dengan kumpulan berkenaan.

“Itu sebab pada musim perayaan KKM bimbang iaitu kita mungkin membawa virus tersebut pulang ke kampung dan menjangkiti warga emas dan kanak-kanak.

“Jadi, apa yang penting adalah kita kena patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan, pastikan kita (amalkan) penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, pastikan kita sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air ataupun menggunakan bahan pembasmi kuman.

“Selain itu, pastikan kita elakkan perhimpunan dan juga apa yang pasti kita perlu melindungi keluarga dan masyarakat kita,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Semalam, Dr Noor Hisham menasihati umat Islam agar meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri secara tertutup di rumah masing-masing bagi mengelakkan penularan COVID-19.