Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berhenti menggunakan ubat hydroxychloroquine untuk merawat pesakit COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas data menunjukkan ubat tersebut tidak berkesan untuk merawat virus tersebut.

“Ubat ini bukan ubat baru, ini ubat yang kita dah pakai selama 40 tahun untuk penyakit malaria dan sebagainya tapi untuk rawatan COVID-19, kita guna off label iaitu tiada lagi atau indikasi menyatakan ia adalah untuk kegunaan pesakit COVID-19.

“Kita gunakan ubat ini kerana ada anti radang. Pada peringkat permulaan, kita rasakan ia boleh digunakan, ada kesan iaitu anti inflamasi tapi apabila kita kumpulkan data dan kita lihat data kita, sebanyak 500 kes yang kita lihat.

“Kita dapati tiada kesan positif atau statistik tidak menunjukkan keberkesanan ubat itu. Bila tiada keberkesanan ubat itu, kita dah hentikan penggunaan ubat itu,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.