Kondisi anggota bomba dan penyelamat Shah Alam, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dalam insiden kekecohan berhubung isu Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya menunjukkan perkembangan baik dan positif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia juga hasil daripada rawatan yang diperolehi dari Institut Jantung Negara (IJN).

"Saya difahamkan, keadaan Muhammad Adib semakin baik. Kita mengharapkan perkembangan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya ringkas pada sidang media di IJN di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu melawat Muhammad Adib yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Selain itu, apabila ditanya sama ada laporan perubatan akan dikeluarkan susulan pelbagai dakwaan terhadap punca kecederaan Muhammad Adib, Dr Dzulkefly mendedahkan, pihaknya dan IJN sedang berbincang mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh dan masa laporan tersebut akan dikeluarkan.

"Saya yakin dalam masa terdekat, perkara itu akan dapat diberikan. Saya juga yakin perkara ini akan dapat dikomunikasikan oleh pihak yang bertanggungjawab," katanya.