Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dan Hospital Pulau Pinang mengesahkan berlakunya kesilapan penyerahan mayat kepada waris seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar Cina hari ini.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa berkata,siasatan mendalam berhubung kejadian sedang dijalankan.

"Pihak KKM berasa sangat kesal dan memandang serius insiden ini. Pihak JKN Pulau Pinang dan hospital telah pun berjumpa dengan waris keluarga bagi memberi penjelasan dan berbincang mengenai perkara ini.

"Kementerian berpendirian bahawa ia tidak sewajarnya berlaku dimana-mana hospital, sama ada hospital kerajaan mahupun swasta," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi pihak hospital dan Jabatan Forensik sememangnya sudah mempunyai Garis Panduan serta prosedur pengendalian standard (SOP) mengenai Perkhidmatan Perubatan Forensik yang telah menggariskan tatacara penyerahan mayat kepada waris.

Tindakan tegas telah diambil terhadap kakitangan yang tidak bertanggungjawab serta tidak mematuhi peraturan serta SOP berkenaan.

Jelas kenyataan itu, kakitangan tersebut telah digantung tugas dan akan dikenakan tindakan tatatertib.

Sementara itu, Kementerian juga telah mengeluarkan arahan penambahbaikan serta-merta kepada pihak hospital tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang. -- Bernama