Kementerian Kesihatan melancarkan siasatan khusus ke atas doktor dan beberapa kemudahan penjagaan kesihatan yang dipaparkan dalam dokumentari terbitan Al-Jazeera.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam menegaskan tindakan akan diambil termasuk tindakan disiplin oleh Majlis Perubatan Malaysia, bergantung kepada hasil siasatan itu.

Jelas Dr Subramaniam, ini termasuk pembatalan pendaftaran di bawah Pendaftar Perubatan Di Bawah Akta Perubatan 1971.

Selain itu lesen pusat atau kemudahan kesihatan juga boleh dibatalkan.

Kementerian juga meminta rakyat membantu mengatasi aktiviti ini dengan menjadi mata dan telinga serta melaporkan maklumat berkaitan bagi tindakan lanjut agensi terlibat.

Dalam hal berkaitan, Dr Subramaniam juga meminta semua pengamal perubatan mematuhi standard perkhidmatan yang bersesuian dengan integriti profesion mereka.

Pencabulan integriti dengan penglibatan dalam aktiviti pemerdagangan disifatkan mencalar reputasi pengamal perubatan.