Kementerian Kesihatan (KKM) nafi mengeluarkan arahan supaya ibu bapa dan pelajar yang bercuti di daerah Kubang Pasu, Kedah supaya menjalani saringan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan media memaklumkan, mesej yang tular di media sosial itu adalah palsu.

Katanya, individu yang perlu menjalani saringan adalah kontak rapat kes COVID-19 dan penduduk kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran.

Selain itu, katanya mereka yang mempunyai kaitan dengan kedai makan yang terbabit dalam Kluster Sivagangga serta yang mengalami gejala seperti demam atau masalah pernafasan juga perlu jalani saringan.

"Individu-individu itu perlu segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan untuk menjalani saringan COVID-19.

"KKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan arahan dikeluarkan adalah selari dan sahih.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh menimbulkan keresahan dan kerisauan orang ramai," kata Dr Noor Hisham.