Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia tidak mengikut lunas undang-undang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka mendakwa PKP tidak boleh dilaksanakan kerana COVID-19 tidak diwartakan sebagai penyakit berjangkit di bawah Jadual Pertama, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“KKM ingin menjelaskan, wabak COVID-19 merupakan pandemik baharu yang berlaku di seluruh dunia.

“Buat masa ini wabak COVID-19 dikategorikan di bawah Perkara 30, Jadual Pertama, Akta 342 iaitu “apa-apa jangkitan mikrobial yang mengancam nyawa.”

“Pindaan kepada Jadual Pertama, Akta 342 bagi menyenaraikan wabak COVID-19 sebagai penyakit berjangkit perlu dibuat melalui kuasa Menteri di bawah Seksyen 30, Akta 342,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu dalam usaha membendung penularan COVID-19 di Malaysia yang secara tiba-tiba jumlah kes meningkat dengan begitu mendadak.

Dalam tempoh PKP, rakyat Malaysia diarahkan untuk duduk di rumah, tidak boleh keluar sesuka hati malah banyak syarikat mengarahkan pekerjanya untuk bekerja dari rumah.

Begitupun, pada 4 Mei lepas, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan banyak perkara dilonggarkan berbanding PKP sebagai satu usaha untuk membuka kembali ekonomi negara.

Setakat hari Khamis, Malaysia merekodkan 8,247 kes dengan 115 kematian. Setakat 4 Jun 2020, seramai 6,559 pesakit sudah sembuh dan 1,573 kes masih aktif dilaporkan.