Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai terutama penduduk di Sarawak agar mengawal populasi anjing bagi mengatasi masalah rabies di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penduduk di Sarawak perlu memastikan anjing peliharaan mereka telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies di klinik haiwan terdekat.

"Sentiasa pastikan haiwan peliharaan berada dalam kawasan rumah dan tidak bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

"Dan sila pastikan haiwan peliharaan khususnya anjing telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Noor Hisham, sejak 1 Julai 2017 hingga 30 Mei 2019 Sarawak masih belum bebas rabies dan kerajaan negeri itu telah mengisytiharkan 62 buah kawasan di 11 Bahagian sebagai kawasan jangkitan rabies.

Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan.

"Pencegahan paling mudah daripada jangkitan rabies adalah segera cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan liar dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

"Selepas itu, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat," katanya lagi.

Pada 31 Mei lalu, seorang lelaki berumur 26 tahun dari Kuching yang disahkan positif rabies telah meninggal dunia.

Dengan pengesahan kes baru ini, jumlah kes rabies di Sarawak sejak wabak ini diumumkan pada 1 Julai 2017 adalah 18 kes; termasuk 17 kematian.

"Kes rabies ke-18 ini merupakan mangsa ketiga jangkitan penyakit ini akibat dicakar oleh anjing yang diambil atau dipungut dari sumber yang tidak diketahui," katanya.

Hanya seorang mangsa sahaja yang selamat, iaitu seorang kanak-kanak yang kini berumur sembilan (9) tahun, tetapi mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.