Kementerian Kesihatan telah menyiasat isu pengurusan pengebumian jenazah COVID-19 di Kelantan yang merupakan kematian ke-8 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengakui kemungkinan berlaku salah faham sama ada antara Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan dengan pihak polis dan mereka yang terlibat.

KKM telah memperbaiki Prosedur Operasi Standard (SOP) pihaknya susulan kejadian itu.

"Mungkin ada salah faham antara JKN Kelantan dengan polis dan sebagainya. Kita telah siasat perkara itu dan memperbaiki SOP kita," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Sebelum ini seorang individu memuat naik status di media sosial dan mendakwa KKM cuba lepas tangan semasa mengendalikan pengurusan jenazah dan hanya bertindak menyerahkan lima sut perlindungan tanpa memberikan penerangan mengendalikan jenazah yang dijangkiti COVID-19.

Dia turut mempersoal SOP sebenar menguruskan jenazah COVID19, iaitu adakah waris perlu turut serta uruskan atau pihak KKM uruskan segalanya.

Jenazah mangsa COVID-19 yang pertama meninggal dunia di Kelantan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Rantau Panjang, sekitar jam 3.30, 22 Mac 2020.

Jenazah yang melibatkan kluster tabligh berusia 69 tahun itu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab Dua, HRPZ II, Kota Bharu sekitar jam empat petang 21 Mac.