Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menimbang beberapa syor medium pencegahan dan kuratif penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Mengambil contoh penggunaan vaksin, Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kajian terperinci perlu dilakukan sebelum ia diguna pakai secara meluas.

"Kami mendapat beberapa syor dan cadangan di mana ia dalam perhatian termasuk vaksin yang sedang diusahakan di Taiwan sementara di Singapura pula masih melakukan kajian dan pembangunan (R&D).

"Kesemua perkara ini diambil serius oleh KKM yang mana kita akan pastikan implikasi dan keberkesanan perkara ini penting kerana ia merupakan satu pendekatan kuratif," ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (Pas - Pengkalan Chepa) yang bertanyakan berkenaan medium pencegahan HFMD.

Bagaimanapun tegasnya, kawalan penjegahan jangka panjang perlu dilaksanakan termasuk memberi latihan kepada pihak-pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru dan pengasuh.

"Bagi kawalan dan pencegahan jangka panjang, latihan kepada pengusaha taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah akan diadakan setiap tahun.

"Latihan ini akan dijalankan bersama kementerian dan agensi terbabit menggunakan garis panduan sedia ada.

"KKM percaya dengan meningkatnya ilmu pengetahuan dan pematuhan pelaksanaannya, ia akan menjadikan polisi tersebut kekal diamalkan," ujarnya menjawab soalan asal Ahmad Marzuk.