Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu lagi kes membabitkan komplikasi prosedur berkhatan yang membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan media pada Ahad memberitahu, kanak-kanak terbabit menjalani prosedur berkhatan di surau berhampiran rumahnya dalam majlis pada 25 November 2016.

"Kanak-kanak tersebut dibawa ke Jabatan Kecemasan di Hospital Selayang dua hari selepas itu, iaitu pada 27 November 2016 setelah ibu bapa dinasihatkan membawa kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

"Ibu bapa mendapati berlakunya pendarahan pada kemaluan dan air kencing kanak-kanak tersebut mengalir keluar daripada lubang di bahagian bawah batang kemaluan (fistula korona), akibat kecederaan kepada saluran kencing.

"Setelah diperiksa di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, adalah didapati bahawa tiada pendarahan aktif di kemaluan seperti yang dilaporkan akhbar.

"Ibu bapa telah diberi penjelasan oleh Pakar Pembedahan Urologi Kanak-kanak bahawa rawatan pembedahan seelok-eloknya dilakukan setelah bengkak surut dan setelah saluran darah ke kepala kemaluan menjadi lebih lancar," katanya.

Jelasnya lagi, fistula korona kanak-kanak terbabit dirawat dengan pembedahan setelah tisu-tisu sekelilingnya sembuh.

"Kanak-kanak tersebut telah diperiksa secara rapi sekerap tiga kali sehari semasa di wad di Hospital Selayang.

"Namun begitu, ibu bapa pesakit telah memutuskan untuk mendapat pendapat lain daripada pakar di hospital swasta dan telah menandatangani pelepasan keluar dari hospital atas tanggungan risiko sendiri (discharged at own risk).

"Pihak Hospital Selayang telah memberikan ibu bapa catatan rujukan ringkas buat hospital swasta yang berkenaan bagi menjelaskan status pesakit, selain memaklumkan kepada ibu bapa bahawa mereka boleh datang semula untuk mendapatkan rawatan susulan pada bila-bila masa," tambahnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengingatkan pengamal kesihatan untuk menjalankan prosedur berkhatan dengan penuh tanggungjawab biarpun ia merupakan prosedur yang ringkas.

Pihak KKM juga akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini.