Ketua Pengarah KesihataN, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan satu lagi kluster baharu melibatkan tapak pembinaan di Kuala Lumpur selepas 28 pekerja warga asing dilaporkan positif COVID-19.

Jelasnya, KKM sedang menyiasat kemungkinan kumpulan berkenaan mendapat jangkitan daripada kluster lain termasuk Kluster Jemaah Sri Petaling, Pasar Borong dan Kampung Bharu.

"Setelah disiasat pada peringkat awal, ada satu kluster baharu iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur yang mana jumlah kes ada 28 tetapi tiada pertambahan semalam. Jumlah kes adalah 28 iaitu melibatkan tapak pembinaan Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media harian di sini pada Ahad.

KKM juga sedang mencari bukti kukuh bagi mengaitkan kesemua kluster terlibat dengan kluster tapak pembinaan berkenaan.

"Kita sudah siasat di tapak pembinaan itu dan mulanya ada kemungkinan berkait dengan kluster lain. Mereka terlibat duduk sekali dalam apartmen, jadi jangkitan dengan kluster lain. Ia masih dalam siasatan, mungkin ada kaitan dengan kluster Sri Petaling, pasar borong dan Kampung Bharu. Jadi siasatan masih dijalankan, untuk tahu ada kaitan tak.

"Setakat ini masih tak dapat bukti kukuh untuk kaitkan dengan kluster berkenaan. Jadi kita namakannya kluster pembinaan," kata beliau.