Kementerian Kesihatan bersedia untuk mewajibkan sekurang-kurangnya dua vaksin daripada 12 vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan terhadap kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, suntikan tersebut melibatkan vaksin MMR bagi penyakit campak, beguk, dan Rubella serta vaksin Difteria yang akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.

"Apa yang penting bagi pihak KKM, adalah komitmen kami atas perkara ini dan kepentingan serta tahap kesihatan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan.

"KKM telah menubuhkan pasukan khas untuk melihat isu ini secara menyeluruh," katanya selepas menghadiri Persidangan Kesihatan Malaysia 2019 di Hotel Istana pada Khamis.

Tambahnya, penggunaan dua vaksin itu juga mampu merawat enam hingga tujuh penyakit lain.

"Kalau boleh kita akan laksanakan secepat mungkin tapi kita perlu bagi mereka masa untuk buat rujukan dan tidak perlu terburu-buru kerana banyak perkara perlu diambil kira," katanya lagi.