Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menjangkakan jumlah kes COVID-19 di negara ini akan memuncak pada pertengahan April seperti apa yang diunjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara kebimbangan beliau adalah ia melibatkan kes import iaitu kemasukan warga Malaysia dari luar negara.

"Sama seperti apa yang kami jangkakan iaitu melibatkan kes-kes import. Jika anda lihat kepada kes import, ia melibatkan rakyat kita yang pulang dari luar negara.

"Kami gusar sekiranya kes import akan terus meningkat. Itu salah satu sebab mengapa kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Diharap dengan pelaksanaan PKP ini, kita akan terus dapat mengesan kes aktif terutama di kawasan hotspot," katanya pada sidang media di sini hari ini.

BACA: Jumlah positif COVID-19 di Malaysia akan memuncak pertengahan April - WHO

Beliau mengulas kenyataan wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru yang menjangkakan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia dijangka akan mencapai kemuncak pada pertengahan April.

Bagaimanapun, katanya terdapat kesan positif daripada langkah pengawalan yang dijalankan kerajaan, termasuk pemanjangan tempoh PKP.