Orang ramai dipelawa menyertai pertandingan mencipta logo dan tagline Kempen Kesedaran COVID-19 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penyertaan ini terbuka kepada rakyat Malaysia di dalam dan luar negara, mulai hari ini sehingga 10 Julai depan.

Katanya, kempen tersebut dilancarkan di seluruh negara seiring dengan usaha menerapkan budaya normal baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak itu.

"Pelancarannya ini bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada akhir Julai ini," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pertandingan itu antara lain memberi peluang dan ruang kepada semua rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam mahupun luar negara, untuk menzahirkan kreativiti mereka.

Beliau berkata, pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 manakala tempat kedua akan menerima RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000. Hadiah akan disampaikan oleh Muhyiddin.

Katanya, penyertaan dan maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati di laman web KKMM, www.kkmm.gov.my atau laman web Jabatan Penerangan Malaysia, www.penerangan.gov.my.