Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan membantu pihak berkuasa termasuk polis berhubung dakwaan yang kononnya sebuah syarikat dari China mengumpulkan data 1,400 rakyat Malaysia dan kononnya pesawat milik Amerika Syarikat (AS) menyamar sebagai pesawat Malaysia.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kuasa menyiasat merupakan di bawah bidang kuasa pihak polis dan KKMM hanya membantu sekiranya dipohon.

Katanya, terdapat dua organisasi yang berperanan membantu siasatan iaitu KKMM dan Cyber Security Malaysia (CSM).

"Kita dalam apa sahaja siasatan biasanya kita membantu sahaja, apa sahaja siasatan, sebab kuasa menyiasat itu adalah di bawah polis, jadi kalau polis minta bantuan kita akan bantu.

“Kita ada dua organisasi di bawah KKMM yang selalu membantu pihak berkuasa untuk membuat siasatan, satu ialah KKMM, satu lagi ialah Cyber Security Malaysia. Maka bila pihak berkuasa perlukan bantuan kita ada pakar-pakar kita dalam bidang tersebut dan kita akan membantu mereka," kata Saifuddin kepada pemberita selepas Bengkel Latihan YouTube Zon Pantai Timur di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan isu berhubung dakwaan terbabit telah diserahkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

September lalu, siaran ABC News, Australia dalam satu laporan mendakwa maklumat 1,400 rakyat Malaysia adalah antara data 250,000 individu yang bocor daripada pangkalan data sebuah syarikat dari China.

Syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan tentera dan rangkaian perisikan di negara itu dikatakan menyimpan maklumat 2.4 juta individu.

Laporan itu tidak menjelaskan secara terperinci apa jenis maklumat yang dikumpul tetapi mendedahkan bahawa data 35,558 rakyat Australia yang bocor antara lain merangkumi ahli politik, hakim, diplomat, wartawan dan hartawan.