Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini menggariskan enam teras untuk melaksanakan Pelan Strategik KKMM 2018-2025.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jailani Johari berkata, ia membawa kementerian itu dalam perjalanan transformasi sekali gus keseimbangan optimum antara pembangunan ekonomi dan sosial.

Jelasnya, kepentingan meningkatkan kepercayaan menjadi platform keyakinan rakyat kepada kerajaan, terutama dalam transaksi alam maya.

"Di alam siber contohnya, paling penting keyakinan rakyat dan kerajaan, ia melibatkan apa sahaja sekuriti dalam transaksi dan kepercayaan masyarakat dalam industri.

"Kita mahu rakyat bergerak selari atau ke depan lagi dan tidak mahu ketinggalan dalam teknologi ini," katanya semasa sidang media selepas Majlis Forum dan Pra-pelancaran Pelan Strategik KKMM 2018-2025 di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Selain itu, katanya, ia termasuk teras menghubungkan insan, memperkukuh penglibatan, mempercepat inovasi, memangkin kreativiti dan memperkasa bakat.

"Enam teras ini mencerminkan ramuan KKMM sendiri dalam merancang dan melaksanakan industrinya. Elemen digital dan insan pula akan melengkapkan identiti strategi itu sendiri," ujarnya.

Sementara itu, kemunculan Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 akan mempersiapkan kementerian itu sendiri dalam mendahului dan memanfaatkan peluang yang ada di dalam industri berkenaan untuk KKMM.

"Di sinilah kerangka dasar dan tanggungjawab bersama akan membolehkan kita mengembangkan industri dan menyediakan platform bagi rakyat untuk memanfaatkan peluang-peluang di dalam dan luar negara.

"Ambil contoh e-dagang, kita sudah bersedia untuk mendapat manfaat daripada fenomena ini. Pelan ini juga harus bertindak balas secara strategik kepada realiti yang berubah dengan pantas," katanya.

Terdahulu, antara panel ahli panel Forum Pelan Strategik KKMM iaitu Ketua Pegawai Digital Telekom Malaysia Bhd (TM) Ahmad Azhar Yahya, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Md Shah Nuri Md Zain dan pengarah terkenal Datin Paduka Shuhaimi Baba berbincang mengenai isu berkenaan dari sudut masing-masing.