Sebanyak 167 penafian berita palsu berkaitan wabak COVID-19 telah dibuat Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) setakat Selasa, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) kementerian itu, Shakib Ahmad Shakir.

Beliau berkata sejak pasukan itu ditubuhkan pada 16 Mac lepas, secara purata, pasukan itu menerima antara enam hingga sembilan berita palsu dalam sehari.

"Sebagai contoh, sehingga semalam kita buat sebanyak 159 penafian, dan hari ini mencecah 167 pemakluman berita palsu telah dibuat.

"Ini menunjukkan kerjasama yang baik antara agensi kerajaan di bawah KKMM berserta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Angkatan Tentera Malaysia dalam menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutama mengenai COVID-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Shakib berkata berita palsu disebarkan orang ramai melalui dua cara sama ada secara tidak sengaja dan sengaja menghebahkannya.

"Kalau yang secara tidak sengaja tu kerana mungkin ada sesuatu perkara berlaku dan atas sifat kasih sayang kepada keluarga dan rakan-rakan, disebarkan berita itu dengan niat menyelamatkan mereka tetapi sedar tak sedar ia adalah berita palsu," katanya.

Jelasnya, hebahan berita secara sengaja pula mempunyai motif berbeza iaitu untuk mendapat perhatian, mendapat 'like' tertinggi di laman sosial masing-masing dan lebih buruk lagi bertujuan memfitnah dan memburukkan pihak tertentu.

Sementara itu, beliau berkata KKMM telah membangunkan banyak kandungan dalam bentuk kreatif termasuklah inisiatif #MuzikDiRumah yang dilancarkan baru-baru ini, untuk dinikmati rakyat Malaysia di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - BERNAMA