'Memacu kecendikiaan dalam masyarakat', itu adalah matlamat baharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dibawah menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau yang mengulas lanjut berkata, kecendekiaan bermaksud masyarakat yang mampu memperoleh dan memanfaatkan ilmu dan kemahiran.

Ia adalah sejajar dengan visi kementerian iaitu melahirkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital.

Katanya, negara sedang berhadapan dengan pelbagai perkembangan global yang turut dirasai masyarakat, seperti dunia tanpa sempadan, budaya dan ekonomi digital, serta peluang dan cabaran yang datang bersama-sama dengannya, justeru katanya “komunikasi itu adalah ekonomi.”

"Dalam konteks ini, komunikasi bukan lagi sekadar suatu sektor. Komunikasi adalah ekonomi. Inilah sebabnya mengapa kita perlu memacu kecendekiaan dalam masyarakat," katanya dalam sidang media selepas melaporkan diri ke pejabat kementerian tersebut dan mendengar taklimat dari Ketua Setiausaha Unit Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad, hari ini.

Kata Saifuddin lagi, beliau merancang untuk menggunakan pendekatan parsipatori iaitu menggalakkan penyertaan pihak kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil.

Sehubungan itu, katanya Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia yang dianggotai pelbagai pemegang taruh yang berkaitan dengan undang-undang, dasar-dasar dan program-program kementerian akan ditubuhkan.

BACA: Misi Saifuddin bentuk masyarakat yang bijaksana dan beretika dalam komunikasi

Dalam pada itu, Saifuddin berkata dasar dan program KKMM yang telah dilaksanakan atau sedang dirangka akan diteruskan bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, di samping beberapa penambahbaikan atau pendekatan baharu akan juga dilaksanakan.

Saifuddin berkata usaha juga akan ditumpukan untuk mendukung kebebasan media tanpa berkompromi terhadap berita palsu dan mempertahan keselamatan dan kedaulatan negara daripada ancaman siber.