Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Pasukan Petugas Industri Kreatif, akan menyegerakan penubuhan sebuah badan kebangsaan berkaitan industri muzik.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, badan kebangsaan berkaitan industri muzik itu antara lain akan bertanggungjawab mentadbir urusan berkaitan muzik, termasuk pengeluaran lagu dan sebagainya.

"Usaha-usaha berkaitan muzik ini sedang digerakkan Pasukan Petugas Industri Kreatif, yang saya pengerusikan bersama Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya). Seperti filem ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia yang boleh menyatakan soal apa itu filem, apa itu bukan filem, dan sebagainya.

"Tetapi muzik kita ada akta hak cipta (Akta Hak Cipta 1987), yang mengawal dan sebagainya, tetapi tidak ada pula badan yang bertanggungajwab mentadbir urusan muzik. Berbanding sesetengah negara seperti Korea Selatan ada badan kebangsaan yang mengambil kira semua itu, itu yang kita hendak buat dan Pasukan Petugas Industri Kreatif itu, antara lain akan melihat model di Korea Selatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas mesyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman, dan beberapa ketua agensi dan jabatan negeri yang berkaitan.

Katanya selain itu kementerian juga akan meningkatkan usaha mengetengahkan komponen muzik nasyid ke peringkat yang lebih tinggi, memandangkan ia juga boleh diperluaskan ke aspek lain seperti dakwah, pendidikan, produk halal, busana muslimah dan sebagainya.

"Memanglah nasyid itu orang lihat sebagai sebahagian daripada muzik, tetapi ia ada dunianya tersendiri yang sangat luas," katanya.

Sementara itu Saifuddin berkata mesyuarat pada hari ini, turut menyentuh mengenai usaha meningkatkan liputan capaian internet yang optimum, terutama 4G di kawasan Pantai Timur termasuk Terengganu.

"Di sebelah Pantai Timur termasuk Terengganu, kita kena bagi tumpuan lebih, contohnya liputan 4G di Terengganu baru lebih kurang 87.7 peratus liputan, 3G 95.5 peratus, 2G 97.8 peratus. Yang kita hendak bincang dan akan perhalusi ialah bagaimana kita hendak optimumkan liputan 4G. Itu melibatkan soal pembinaan menara-menara baru dan sebagainya," katanya.

Katanya Terengganu yang kini mempunyai 685 menara telekomunikasi, memerlukan lebih 400 lagi menara telekomunikasi bagi mengoptimumkan liputan internet di negeri itu, termasuk di pusat-pusat pelancongan dan pulau-pulau peranginan.

-- BERNAMA