Indeks Megahub Antarabangsa OAG 2018 meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di tempat ke-12 daripada 20 lapangan terbang paling banyak disambungkan di seluruh dunia, manakala untuk Asia Pasifik di tempat ketiga.

Indeks berkenaan menempatkan lapangan terbang mengikut nisbah paling tinggi bagi sambungan antarabangsa yang dijadualkan dengan jumlah destinasi yang ditawarkan.

Ia meletakkan Changi Singapura di tempat kelapan, Soekarno-Hatta Jakarta (ke-10), Hong Kong (ke-13) dan Suvarnabhumi Bangkok di tempat ke-14.

Dalam bahagian Megahab Tambang Murah Antarabangsa, pembangunan infrastruktur lapangan terbang tambang murah, pengembangan rangkaian laluan dan pertumbuhan kapasiti tempat duduk membolehkan KLIA, Soekarno-Hatta dan Changi Singapura untuk mengekalkan kedudukan tiga teratas di peringkat global.

Bagaimanapun, tumpuan akan mula beralih ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing, yang dijadual dibuka sebagai lapangan terbang terbesar dunia pada 2019.

Mayur Patel, Pengarah Jualan Wilayah JAPAC untuk OAG dalam satu kenyataan berkata: "Permintaan yang mantap untuk perjalanan udara antarabangsa kini membuat Asia Pasifik sebagai satu kawasan utama bagi menyambung penerbangan. Penguasaan Asia jelas kelihatan tetapi kami mungkin melihat beberapa pergerakan yang menarik apabila lapangan terbang Beijing yang baharu dibuka nanti.

Berada di barisan hadapan pasaran pelancongan selama bertahun-tahun, OAG mempunyai rangkaian data pengembaraan udara terbesar di dunia, termasuk pangkalan data jadual paling sahih bagi lebih 980 syarikat penerbangan dan pangkalan data maklumat status penerbangan paling meluas di pasaran, dengan menjejaki 96 peratus penerbangan komersial.

Rangkaian pelanggan OAG termasuk syarikat penerbangan dan lapangan terbang terbesar di dunia, ejen pelancongan dalam talian (OTA), enjin tempahan terbesar di Eropah dan pemimpin pelancongan, teknologi dan e-dagang yang utama merentasi China, India, Indonesia, Amerika Latin dan Amerika Utara.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.oag.com.-- BERNAMA