Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis Tiga (KK3) di Serian dijangka siap pada 9 Jun 2022.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jelas Dr Adham lagi, Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 3 Mac lepas dan projek itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak secara berfasa.

“Fasa pertama melibatkan kerja tanah yang bermula pada 1 Disember 2016 dan siap sepenuhnya pada 20 Julai 2017.

“Manakala fasa kedua melibatkan kerja-kerja membina bangunan. Kerja-kerja membina bangunan telah ditender pada 14 September 2019 dengan tarikh tutup pada 7 Oktober 2019,” katanya.

Dr Adham berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS - Serian).

Tambah Dr Adham, KKM bersama JKR Sarawak dan setiap agensi kerajaan yang lain sentiasa bekerjasama bagi memastikan projek berkenaan berjalan lancar.