Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan jangkitan Kluster Bukit Tiram adalah berpunca daripada salah seorang pelajar yang kembali dari Filipina.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kemungkinan tersebut adalah berdasarkan saringan dan siasatan yang dijalankan terhadap dua pelajar positif COVID-19 yang pulang dari Filipina dan menjangkiti individu lain.

“Menjadi kebimbangan KKM ialah komuniti Roman Katholik di Johor, pihak kami akan jalankan saringan sasaran (targeted approach) kepada kumpulan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham menjelaskan saringan akan dijalankan sebagai tindakan proaktif bagi mengesan dan mengambil tindakan pemantauan kepada mereka yang terlibat.

Tambahnya, setakat ini tiada pertambahan kes bagi tempoh dua atau tiga hari kebelakangan ini.

“KKM dalam pemantauan memasukkan golongan atau kumpulan gereja roman katholik dalam targeted approach sebagaimana yang dilakukan semasa kes sekolah tahfiz dan juga jemaah tabligh dahulu,” katanya.

BACA: COVID-19: 1 kes Kluster Bukit Tiram dikesan di Selangor - KP Kesihatan

Kluster Bukit Tiram mula dikesan pada 25 Julai lalu selepas mengenal pasti dua kakitangan pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor yang dilaporkan positif.

Terdahulu, KKM mengesan kes positif COVID-19 pertama di luar Johor bagi Kluster Bukit Tiram membabitkan bukan warganegara di Selangor.