Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti satu lagi kluster COVID-19 melibatkan kes kematian ke-120, iaitu kes ke-8403 di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster itu merupakan seorang warga emas yang meninggal dunia di rumah pada 12 Jun lalu akibat komplikasi sakit jantung dan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth.

"Saringan COVID-19 telah dijalankan dan beliau didapati positif. Sebelum ini beliau telah mendapat rawatan untuk penyakit jantung di Hospital Queen Elizabeth 2," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Justeru, aktiviti saringan kontak rapat telah dijalankan dan mendapati dua kakitangan wad positif COVID-19.

"63 individu termasuk 21 anggota kesihatan, dua (2) pesakit, 40 ahli keluarga dan rakan telah dikenalpasti serta disaring. Langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di semua tempat yang dikenalpasti terdedah termasuk di wad dan rumah arwah," ujar beliau.

Bagaimanapun, perkhidmatan Hospital Queen Elizabeth 2 tidak terjejas dan berterusan seperti
biasa dan punca jangkitan kluster ini adalah masih dalam siasatan.