Selepas sedikit lega dengan dua angka kes positif pada Khamis, negara kembali mencatatkan tiga angka kes positif COVID-19 dengan 111 kes direkodkan pada Jumaat, 25 September 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan berkata, daripada 111 kes yang direkodkan, 97 kes daripadanya adalah dari Sabah dan selebihnya dari Semenanjung Malaysia.

Ini adalah lima perkara penting dalam kenyataan media Dr Noor Hisham pada Jumaat:

1. Sehingga 25 September 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 111 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,687 kes.

2. Daripada 111 kes baru yang dilaporkan, 107 kes adalah kes tempatan dan empat adalah kes import.

3. 97 kes daripada keseluruhan kes dilaporkan pada hari ini adalah dari Sabah, selebihnya Semenanjung Malaysia termasuk Kedah yang merekodkan lapan kes.

4. Terdapat satu kluster baharu terpencil telah dikenal pasti Johor, melibatkan krew kapal yang berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

5. Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Terdapat empat kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.