Kementerian Kesihatan (KKM) yakin dapat mengawal penularan kes COVID-19 melibatkan Kluster Sivagangga di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dalam tempoh seminggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini tiada kes baharu melibatkan kluster itu di negeri lain.

Pada masa sama katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) yang dilaksanakan di lokasi tertentu membantu KKM untuk melakukan pengesanan kontak.

"Di tiga negeri ini, kita lihat kepada kes positif dan kita mengesan kontak rapat. Dalam kes ini, kita dapat laksanakan aktiviti itu dengan baik. Contoh kes di Pulau Pinang. Apa yang penting ialah kita tingkat kaedah aktiviti kesihatan awam yang berterusan.

"Kita rasa dalam tempoh seminggu lagi, kita boleh mengawal (penularan Kluster Sivagangga) dan tiada kes lain di negeri lain setakat ini," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

BACA: TEMCO di dua kampung bermula 10 Ogos hingga 31 Ogos


Pada Isnin, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan TEMCO di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul sehingga 31 Ogos 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan 191 buah rumah dengan 872 orang penduduk.