Kluster Perhimpunan Sri Petaling dijangka akan diisytiharkan tamat dalam tempoh terdekat berikutan tiada kes baharu dicatatkan dalam kluster itu selama 14 hari.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, kluster yang mula dikesan pada 9 Mac lalu itu, kini hanya mempunyai satu kes aktif.

Justeru, pihaknya menjangkakan kluster itu akan tamat dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

"Dalam tempoh empat bulan kita memang dikejutkan dengan Kluster Sri Petaling. Kementerian Kesihatan (KKM) hanya dimaklumkan mengenai kewujudan kes membabitkan perhimpunan peserta tabligh di Masjid Sri Petaling itu, lapan hari selepas perjumpaan itu, iaitu pada 9 Mac.

"Ketika itu, kebanyakan peserta tabligh sudah pulang ke kampung halaman atau ke luar negara. Tindakan kita adalah tindakan bersepadu dengan semua pihak untuk mengesan dan mengawal penularan jangkitan dalam kalangan jemaah," katanya.

Untuk rekod, seramai 3,375 kes positif COVID-19 direkodkan dalam kluster itu membabitkan lima generasi.

Sebanyak 3,340 kes disahkan pulih manakala 34 telah meninggal dunia.