Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman memulakan kempen pilihan rayanya secara rasmi malam tadi selepas pencalonannya pagi Sabtu untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau menghadiri Program Rakyat Dihatiku di Kampung Nelayan Batu Putih dekat sini.

Majlis tersebut dihadiri 300 penduduk di kampung itu yang mempunyai 52 rumah keluarga nelayan.

Turut hadir Datuk Zakaria Mohd Edris, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Libaran.

Berucap pada majlis itu, Musa menjelaskan mengenai komitmen BN melaksanakan pembangunan untuk kemudahan rakyat.

Katanya BN mempunyai rekod yang baik dalam melaksanakan pembangunan dan menyediakan kemudahan asas membabitkan bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Musa berkata BN peka dengan keinginan rakyat dan sentiasa mencari cara terbaik memenuhinya.

-- BERNAMA