Kolaborasi strategik antara Astro AWANI dan Sinar Harian menjanjikan informasi padat, tepat dan cepat kepada pembaca seluruh negara sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kolaborasi itu juga disifatkan sebagai pemacu utama bagi orang ramai mendapatkan informasi berkaitan pilihan raya yang sahih dan benar.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Syamil Fahim Mohd Fahim, audiens Astro AWANI dan Sinar Harian bakal disajikan dengan paparan komprehensif pilihan raya dari seluruh pelusuk negara.

“Apa yang kita boleh janjikan kepada pembaca dan penonton, kelainan dalam konsep Sinar Harian yang telus dan tulus sama seperti Astro AWANI yang melaporkan berita yang neutral.

“Saya pasti pembaca dan pengunjung laman web Sinar Harian dan Astro AWANI dapat melihat serta membaca laporan yang lebih mendalam untuk musim PRU14 ini,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Karangkraf, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Suhaimi Sulaiman menyifatkan gabungan Astro AWANI dan Sinar Harian menjanjikan berita yang komprehensif seperti yang dinantikan pembaca.

Astro AWANI mempunyai kekuatannya sendiri ... begitu juga Sinar Harian. Apabila digabungkan kedua-dua kekuatan ini, kita akan hasilkan berita yang komprehensif.

“Saya pasti berita sebegini yang dinantikan oleh pembaca dan penonton di luar sana. Ia sekali gus akan membuktikan kolaborasi ini adalah kolaborasi yang mantap,” katanya ketika ditemui di bilik berita Astro AWANI, hari ini.

Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali berkata, beliau optimistik kolaborasi itu bakal mempertontonkan pelbagai aspek terutama pada PRU14.

“Kita yakin penonton dan pembaca akan mendapat pilihan yang lebih luas disebabkan kolaborasi antara dua portal berita ini.

“Kolaborasi ini jugak akan memperbanyakkan berita yang orang lain perlu tahu terutamanya sewaktu pilihan raya ini,” katanya.

Segalanya tentang PRU14 di saluran Malaysia Memilih (501 Awani) dan laman web Sinar Harian.