PEKAN, 6 Julai (Bernama) - Langkah Universiti Malaysia Pahang (UMP) membina Kolej Kediaman Mawaddah, sebuah kolej kediaman berkonsepkan wakaf, dilihat sebagai usaha murni pihak universiti mengurangkan beban pelajar terutama di kalangan anak yatim dan asnaf.

Bagi pelajar pengajian diploma tahun satu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam Mohd Farhan Mat Yusof, 18, inisiatif UMP dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) itu, ibarat satu sinar bagi pelajar yang susah seperti dirinya.

"Saya anak yatim dan ibu hanya menyara kami lima beradik dengan berniaga kecil-kecilan di depan rumah kami di Gua Musang. Kematian bapa pada tahun 2010 akibat sakit buah pinggang kronik tidak mematahkan semangat saya untuk belajar.

"Sesungguhnya dengan adanya bantuan daripada pihak universiti dan MUIP seperti ini, pasti akan menyemarakkan lagi semangat kami untuk belajar bersungguh-sungguh dan membantu orang lain pula pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Pembinaan Kolej Mawaddah UMP di UMP Kampus Pekan yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bagi penuntut pengajian sarjana sains di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Wan Nurul Syahirah Wan Lanang, 25, penyediaan kemudahan penginapan kepada pelajar dianggap tepat pada masanya ditambah lagi dengan keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

"Ramai pelajar pandai daripada keluarga yang kurang berkemampuan memerlukan kemudahan berkenaan untuk membantu mereka mencapai cita-cita untuk cemerlang dalam pelajaran.

"Saya sendiri sebagai anak yatim meneruskan pendidikan dalam keadaan serba kekurangan dengan yuran kolej kediaman sebanyak RM1,800 bagi satu semester (enam bulan), ia sememangnya membebankan.

"Usaha (kolej wakaf) ini adalah usaha murni kerana ia menjadi bukti keprihatinan pihak universiti dan pihak lain yang terlibat dalam membantu pelajar yang tidak mampu dari segi kewangan," katanya.

Sementara itu Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim dalam ucapannya berkata projek berkenaan adalah bertitik tolak daripada keprihatinan pihak universiti terhadap kesulitan dan kengkangan kewangan yang dihadapi oleh segelintir mahasiswa bagi membiayai kos penginapan mereka.

"Inisiatif mencari dana untuk membina kolej ini dilakukan secara intensif sejak 2016 lagi dan selain kutipan dana yang diterima hasil sumbangan warga kerja universiti ini melalui potongan gaji mereka, UMP turut memerlukan sokongan daripada perseorangan dan, agensi awam, badan korporat dan swasta.

"Untuk itu pihak UMP turut menubuhkan satu sekretariat khas untuk menyelaras semua urusan berkaitan perancangan dan penyaluran sumbangan terhadap projek ini bagi memastikan segala gerak kerja teratur," katanya.

Beliau berharap dengan siapnya projek itu kelak pada 2018, ia akan menjadi satu model projek wakaf pendidikan yang bukan sahaja akan diteladani oleh insitusi pengajian tinggi yang lain, malah boleh dikembangkan secara serius oleh kerajaan bagi menggalakkan kesedaran wakaf dan amal jariah di negara ini.

-- BERNAMA