Kolej Komuniti di seluruh negara boleh menawarkan kursus yang berkaitan dengan pembangunan rakyat setempat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kursus-kursus yang ditawarkan di kolej komuniti adalah fleksibel, untuk sesiapa sahaja, tidak kira umur dan relevan dengan Revolusi Industri 4.0.

Malah, kata beliau, kolej komuniti juga boleh mengambil pensyarah-pensyarah luar untuk mengajar kurusus-kursus pendek.

Beliau memberi contoh, Kolej Komuniti Lenggong menawarkan kursus pelancongan dan pengembaraan, sesuai dengan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.

"Semua boleh, kerana kita melihat Kolej Komuniti menawarkan 48 kursus di peringkat sijil dan 17 diploma.

"Sebab itu kita katakan pendidikan sepanjang hayat, bukan hanya untuk orang orang muda sahaja tetapi juga orang tua, bukan hanya untuk kursus pendek tetapi juga kursus panjang," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kolej Komuniti Lenggong di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Idris berkata, lulusan Kolej Komuniti bergraduan boleh melanjutkan pelajaran ke politeknik seterusnya ke univesiti sehingga boleh menjadi profesor.

Kolej Komuniti Lenggong adalah kolej komuniti ke 98 dan yang terbaru di seluruh negara.