Kolej Vokasional (KV) bukan sahaja berjaya melahirkan graduan yang berdaya saing tetapi juga usahawan muda yang mampu memperoleh pendapatan lumayan di usia muda.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Datuk Haidzir Hussin berkata ini dibuktikan apabila ada graduan KV yang meraih pendapatan sehingga RM70,000 sebulan hasil perniagaan kuih bahulunya.

"Kita ada beberapa program dengan kerjasama pihak luar seperti 1st Step bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk melatih pelajar. Ada beberapa siri jelajah seluruh negara di mana pelajar diberikan kursus secara khusus dalam bidang keusahawanan, mendaftarkan syarikat mereka secara percuma selain diberikan dana dan bimbingan tertentu.

"Sebab itu ada graduan yang kita lahirkan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 dan RM70,000 sebulan melalui perniagaan.

"Ada yang buka kedai kek sehingga pendapatan mencecah RM40,000 sebulan ketika masih di bawah umur 23 tahun hasil didikan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Konvokesyen Kolej Vokasional Kali Keempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, di sini, pada Sabtu.

Istiadat konvokesyen itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim.

Dalam pada itu, Haidzir berkata kebolehpasaran graduan KV sangat tinggi iaitu bagi 2018 kadarnya adalah 97.02 peratus bahkan pelajar juga ditawarkan bekerja semasa mereka masih menjalani latihan industri.

Pada majlis itu, seramai 14,387 graduan KV dari seluruh negara menerima diploma masing-masing.

-- BERNAMA