Polis Johor menerima tiga laporan polis berhubungan komen yang menyentuh sensitiviti agama di laman sosial berkaitan kes viral lelaki membunyikan hon di surau Austin Perdana, Taman Austin Perdana.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata pihak polis sentiasa memantau kes berkenaan dan telah mengenal pasti beberapa akaun Facebook yang mengeluarkan komen negatif sehingga menyentuh isu perkauman dan keagamaan.

“Satu unit siasatan khas di Bukit Aman akan menyiasat semua laporan yang berkaitan dengan komen negatif berkenaan,” kata beliau pada sidang media selepas majlis perjumpaan Persatuan Pesara Polis Negeri Johor oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad di Ibu Pejabat Kontijen Johor, Johor Bahru, Johor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas komen negatif yang diberikan pemilik akaun laman sosial bernama Anna Ong Iye Lung yang mengeluarkan kenyataan menghina umat Islam berikutan insiden pergaduhan jemaah surau dengan pemandu kereta.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu pada jam 1.30 tengah hari, seorang pemandu Toyota Camry dikatakan membunyikan hon secara berterusan hingga mengganggu ketenteraman ratusan jemaah yang mengerjakan solat jumaat.

Keadaan itu menyebabkan ada jemaah yang berang dan memukul pemandu berkenaan.