Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) hari ini melihat komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ sebagai cubaan menafikan sejarah asal Tanah Melayu.

Ketua Penerangannya Mohd Nor Hamzah berkata, DUPP turut melihat perbuatan itu sebagai berniat jahat dalam menjayakan agenda Malaysian Malaysia.

“Sikap prejudis yang jelas dengan menjatuhkan imej kaum Melayu dalam isu kemerdekaan. Sedangkan perjuangan memerdekakan Tanah Melayu dari penjajah telah pun ditiupkan semangat jihad oleh para ulamak yang membantah keras penjajahan dan sistem zalim yang dikenakan oleh penjajah.

“Malang sekali, apabila komik tersebut cuba mendoktrin para pembaca kalangan pelajar sekolah dengan ideologi seleweng kononnya Bintang 3 dan Komunis dilihat hero dalam isu memerdekakan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nor berkata, melihat kepada kontroversi yang jelas bercanggah dengan fakta sejarah dan cubaan memasukkan doktrin yang menyeleweng, maka DUPP mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas pelukis komik, dalang edaran komik, serta mana-mana pimpinan parti politik yang terlibat.

“Mana-mana pimpinan parti yang bersubahat dan bersekongkol dalam edaran komik kontroversi ini, tidak menghormati sejarah dan mencalarkan imej kaum Melayu yang diiktiraf dalam Hak Istimewa yang termaktub menerusi Perlembagaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Mohd Nor berkata, DUPP menyarankan orang ramai di setiap peringkat untuk mengambil langkah yang proaktif dengan membuat laporan polis bagi memastikan satu tindakan serius lagi tegas untuk menangani doktrin itu.