KERAJAAN negeri Kelantan tidak pernah menolak kemajuan dan pembangunan, namun dalam masa yang sama, mahu memastikan pemodenan juga selari dengan pembangunan akhlak masyarakat.

Itu pendapat yang diluahkan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Ibrahim, susulan isu kompaun ke atas sebuah premis perniagaan di Kota Bharu, kerana memaparkan poster wanita tidak menutup aurat sebagai hiasan.

Gambar surat kompaun itu dimuat naik oleh pemilik premis ke akaun Facebook, namun ia sudah dibuang selepas ia mula viral.

Keratan saman yang dikeluarkan.

Melalui beberapa status di akaun Facebooknya, Nazman berkata, tindakan yang diambil oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu adalah lanjutan daripada aduan yang diterima daripada orang ramai.


Beliau turut mempertahankan tindakan itu dengan menyatakan ia selaras dengan apa yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri.


"Walaupun perkara ini dikira sebagai tindakan yang tidak popular dan tidak mengikut arus pembangunan semasa, namun ketegasan prinsip dan keutuhan dasar Islam harus terus menjadi teras kepada urus tadbir Kerajaan Islam Negeri Kelantan," tulisnya.

Jelasnya lagi, usaha untuk menegakkan syiar Islam perlu diteruskan biarpun ia menjadi bahan sindiran sesetengah pihak.

"Sungguh, akhir zaman ini, perjuangkan agama ibarat menggenggam bara api," katanya.

Gambar surat kompaun yang tersebar itu menimbulkan perbalahan antara netizen, dengan ada sebahagiannya mempersoalkan jika tindakan itu wajar diambil.