Sebarang pengguna jalan raya yang melanggar kesalahan lalu lintas lalu dikenakan kompaun sepanjang kempen Op Selamat 7/2015 berlangsung, tidak akan berpeluang mendapat pengurangan jumlah saman walaupun dengan rayuan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 7/2015 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Pihak PDRM tidak akan mengurangkan jumlah kompaun. Ini bermakna kompaun maksimum RM300 akan dikenakan kepada pesalah lalu lintas. Sebarang rayuan (untuk mengurangkan atau mengecualikan) tidak akan dilayan sama sekali,” kata Khalid.

Sepanjang Op Selamat kali ketujuh itu dijalankan selama 15 hari iaitu dari 10 Julai hingga 24 Julai 2015, pihak polis menyasarkan objektif operasinya iaitu untuk mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

Bagi objektif penjagaan keselamatan harta benda atau rumah, rondaan pencegahan jenayah di taman-taman perumahan akan dipertingkat.

“Bagi objektif kedua iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya, operasi-operasi yang akan dijalankan adalah ops perangkap had laju dan operasi motosikal yang mana statistik pada musim lalu menunjukkan kategori itu paling tinggi terlibat kemalangan maut,” ujar Khalid.

Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada kesalahan-kesalahan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memotong barisan.

“Kesemua pegawai dan anggota polis di seluruh negara iaitu kira-kira 120,000 orang akan bertugas untuk memastikan kempen itu berjalan lancar dan objektifnya tercapai,” ujar Khalid.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pemilik kediaman dan premis yang pulang ke kampung agar mengisi dan menghantar Borang Maklumat Balik kampung yang boleh didapati di balai ataupun dimuat turun melalui portal rasmi PDRM.

Pemakluman itu juga boleh dilakukan menerusi Hotline 999 atau Sistem SMS Rakan Cop iaitu mekanisma yang dibentuk PDRM untuk menggalakkan kerjasama masyarakat dalam usaha memerangi jenayah.