Bermula Rabu (8 April 2020), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menguatkuasakan tindakan kompaun RM1,000 terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, sehingga kini sebanyak 95 notis kompaun telah diserahkan kepada individu yang terbabit.

"Mereka yang didapati ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran kompaun perlu diselesaikan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh 2 minggu selepas tarikh ia dikeluarkan. Mereka yang gagal membayar kompaun akan dihadapkan ke mahkamah," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis .

Beliau turun memaklumkan, pada 8 April 2020, kadar pematuhan arahan PKP mencapai tahap 97 peratus.

"PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 769 sekatan jalan raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 433,988 kenderaan," tambahnya.

BACA: Lanjutkan PKP sehingga selepas Aidilfitri - AMM

Pada masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membantu PDRM dan ATM di sekatan jalan raya di seluruh negara.

"Sebanyak 36,980 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dan sebanyak 5,022 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa," ujar beliau lagi.

PDRM juga telah menahan 300 individu di sekatan jalan raya dan rondaan PDRM kerana melanggar PKP.

"Jumlah yang ditangkap semalam menurun berbanding 454 tangkapan pada hari sebelumnya," katanya.

"Berbanding kelmarin, kadar tangkapan menurun sebanyak 34 peratus. Daripada 300 individu yang ditahan semalam, jumlah yang direman - 252 individu dan dijamin - 48 individu.

"Seramai 518 individu dituduh di mahkamah semalam. Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 8 April 2020 (semalam) adalah sebanyak 7205 individu," tambah beliau.