Kompleks sukan bernilai RM8 juta dibina di Pasir Puteh

|

Khairy (kiri) bersama Asyraf Wajdi pada Program Townhall Fiesta Sehat @ RTM #AKOK25 di Dewan Terbuka Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pauh Lima hari ini. --fotoBERNAMA

PASIR PUTEH: : Sebuah kompleks sukan bernilai RM8 juta akan dibina berhampiran Terusan Semerak, Tok Bali di sini, untuk kemudahan penduduk kawasan Parlimen Pasir Puteh.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kompleks itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sukan yang mengambil kira keperluan dan pandangan pemimpin tempatan.

Tanpa menyatakan tarikh kompleks itu mula dibina, beliau berkata pembinaan di tapak seluas 6 hektar akan mengambil masa antara 12 dan 18 bulan untuk disiapkan.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas program Townhall bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulai Lima di sini, hari ini.

Program itu yang diadakan sempena Fiesta Sehati RTM @ AKOK 25, turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Khairy berkata kompleks itu adalah antara 14 kompleks sukan yang  diumumkan pembinaannya oleh Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 pada Oktober lalu.

Beliau berkata pembinaan kompleks tersebut berdasarkan permintaan khususnya generasi muda yang menghadapi kekurangan kemudahan sukan dan riadah di Kelantan.

Selain itu, beliau berkata Kelantan tidak pernah menjadi tuan rumah kepada Sukan Malaysia kerana kerajaan Kelantan tidak mengemukakan permohonan untuk menganjurkan sukan dwitahunan itu.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, berkata pihaknya akan berusaha untuk membawa sukan itu ke negeri ini sekiranya Barisan Nasional diberi mandat untuk mentadbir Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata sebuah Universiti Darul Quran akan dipertimbang diwujudkan di  Pasir Puteh.

Beliau berkata ini berdasarkan inspirasi  penduduk Pasir Puteh yang mahu melahirkan umat yang pakar dalam ilmu al-Quran di samping bidang profesional.

-- BERNAMA



Outbrain