Komposer dan pencipta lagu terkenal, Datuk Wah Idris diberikan penghormatan menerusi penganugerahan Brandlaureate - Kepimpinan Jenama Ikon Muzik Dunia.

Pengiktirafan itu bagi menghargai sumbangannya dalam industri muzik tanah air menerusi penghasilan pelbagai lagu tema dan lagu asli yang memberikan impak positif.

Antara lagu tema gubahannya yang masih berkumandang sehingga kini ialah "Standing in the Eyes of the World yang dihasilkan sempena temasya Sukan Komanwel pada 1998.

“Anugerah ini akan memberikan satu suntikan kepada penggiat seni tanah air, bagi satu semangat, dan lagu ini kita jangan fikir hanya untuk pasaran tempatan, tetapi azam mereka itu mesti fikir untuk seluruh dunia,” kata Wah Idris kepada wartawan Rancak TV selepas menerima anugerah oleh Yayasan Jenama Dunia, pada Rabu.

Dalam pada itu, Wah Idris turut berkata golongan penggiat seni tanah air harus mencipta lagu dengan unsur-unsur positif serta memupuk semangat patriotisme.

“Seni kata lagu itu mesti ada semangat patriotisme, apabila seni kata ada semangat patriotisme, orang (pendengar) pun boleh rasa lagu itu ada nilai.

“Dengan cara sebegitu, kita boleh bangkitkan sesuatu daripada lagu itu selain cinta, tetapi ada lebih daripada itu iaitu semangat untuk kebangsaan dan untuk negara,” tambahnya.

Wah Idris juga dilihat sebagai duta negara dalam mempromosikan Malaysia di mata dunia menerusi muzik dan lagu.

Yayasan Jenama dunia melihat nilai kepimpinan Wah Idris amat signifikan dalam menyumbang kepada komuniti serta negara menerusi bidang kepakarannya tersendiri.