Komugi Bakery Malaysia memohon maaf atas insiden kemunculan seekor tikus, di atas dulang roti yang baru dibakar di salah satu cawangannya yang terletak di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

Syarikat itu mengeluarkan kenyataan mohon maaf selepas seorang pelanggan berkongsi insiden ini di laman Facebook - apabila dia terlihat seekor tikus di atas dulang roti ketika membeli pastri di kedai tersebut.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi Facebook, Komugi berkata mereka sedang cuba menyelesaikan isu ini.

“Keselamatan dan kualiti makanan adalah keutamaan kami dan kami memandang serius semua laporan yang diterima.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak pengurusan pusat membeli-belah berkenaan untuk menyiasat kes terpencil ini,” menurut syarikat tersebut.

Tambah mereka, cawangan Komugi di Mid Valley Megamall akan ditutup sementara bagi membantu siasatan.

“Sebagai langkah segera bagi membantu siasatan, kami akan menutup cawangan Mid Valley sehingga notis selanjutnya.”


Sekeping gambar tikus di atas dulang roti yang baharu dibakar menjadi viral selepas pengguna Facebook, Melon Roux memuat naik gambar itu pada Ahad lalu.

Dia tidak mendedahkan nama cawangan kedai roti itu, namun logo kedai tersebut jelas kelihatan di dalam gambar tersebut.

Menurut Melon, dia dan kawannya terkejut dengan kehadiran tikus itu.

"Saya pulangkan semua pastri yang saya ambil dan maklumkan kepada kakitangan kedai di situ mengenai perkara tersebut.

"Saya berharap mereka akan lebih berhati-hati pada masa akan datang," tulisnya.



Komugi merupakan kedai roti yang menjual pelbagai kek dan pastri Jepun.

Syarikat itu mempunyai lebih dari 10 cawangan di Malaysia, antaranya ialah di pusat beli belah Mid Valley, Megamall, Sunway Pyramid, IOI City Mall, Subang Parade, Pavillion dan juga di Kuching, Sarawak.