Menguasai pelbagai bahasa yang ada di dunia ini merupakan salah satu kelebihan untuk rakyat Malaysia berkomunikasi dengan negara-negara luar.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kebolehan dalam menguasai pelbagai bahasa ini membolehkan pertumbuhan ekonomi negara disamping mencerminkan kepelbagaian rakyat di negara Malaysia.

Menurutnya beliau sangat bersetuju dengan pandangan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkenaan dengan penguasaan pelbagai bahasa kerana kelainan dunia pada hari ini ialah apabila seseorang itu berjaya berhubung dengan negara-negara luar melalui penguasaan pelbagai bahasa.

Ujarnya lagi sebagai pemerintah kerajaan pusat, pihaknya akan sentiasa meneruskan usaha dalam memartabatkan imej serta karakter bangunan-bangunan di sekolah kerana beliau percaya masyarakat Cina sangat percaya terhadap karakter-karakter yang murni dalam usaha meningkatkan mutu sistem pendidikan di sekolah sekaligus dapat menerapkan lagi karakter-karakter murni di dalam setiap pelajar.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita mesti terus memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan, kita mahu rakyat berjaya, bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, tetapi juga disemai dengan nilai-nilai yang baik, sama seperti orang Cina yang percaya kepada peribadi yang baik, dan nilai-nilai yang baik.

"Ada satu peribahasa Cina yang saya sangat suka, iaitu setiap kali anda minum air dari perigi, anda jangan lupa orang yang menggali perigi itu," kata perdana menteri ketika berucap di Majlis Perasmian Bangunan Baharu SJK Chung Hua No. 4 di sini hari ini.

Perdana Menteri menambah lagi bahawa beliau sangat menyokong penuh kepimpinan Abang Johari dalam mentadbir kerajaan Negeri Sarawak serta yakin dengan potensi Abang Johari dalam meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dimana kekuatan yang ada pada kerajaan negeri Sarawak menjadi tunjang kepada kekuatan kerajaan persekutuan.

Pembinaan bangunan baharu sekolah yang bernilai RM4.6 juta itu, mengandungi dewan serba guna, pejabat sekolah, lapan bilik darjah dan sebuah kantin, bermula pada November 2015, dan siap dalam tempoh hanya empat bulan.

Perdana Menteri memperuntukkan RM1.5 juta, manakala Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memperuntukkan RM800,000 dan kontraktor projek, Lee Onn Group menyumbang RM1.33 juta bagi pembinaan bangunan itu.

Esok, Najib dijadual melawat Lundu, kira-kira 80km dari sini, sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Sarawak selepas menunaikan solat Jumaat.