Komuniti di setiap kawasan digalak mewujudkan 'Rakan Taman' untuk melaksanakan kerja sukarelawan bagi menyelenggara dan melakukan pembaikan kecil fasiliti serta kemudahan landskap di taman awam.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata setakat ini pihaknya melalui Jabatan Landskap Negara dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mewujudkan 228 'Rakan Taman' di seluruh negara.

"Mengikut rekod Jabatan Landskap Negara, 2,503 daripada 5,811 taman awam di seluruh negara perlu diselenggara supaya dapat digunakan dengan lebih selamat oleh masyarakat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran sambutan Hari Landskap Negara 2017 peringkat kebangsaan di Taman Tasik Kamunting di sini, yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Selain itu, Noh berkata Rakan Taman juga mampu menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menzahirkan sifat sayang kepada entiti landskap di sekitar mereka.

"Jika kita dapat mengerakkan Rakan Taman dalam kalangan komuniti setempat di taman-taman berkenaan, adalah dianggarkan ia akan dapat meningkatkan akses kemudahan rekreasi kepada lebih 7 juta orang," katanya.

Menurut Noh, bagi penduduk bandar, Rakan Taman juga dapat dijadikan platform mengalakkan masyarakat melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk pertanian bandar dan persekitaran mereka.

Dalam pada itu, Noh berkata Jabatan Landskap Negara sedang melaksanakan pelbagai projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 di Perak.

Ini termasuk Pembangunan Landskap Dataran Bagan Datuk; Taman Awam Baru di Tasik Temoh, Tapah; Taman Rimba Bandar Proton, Tanjung Malim dan Taman Botani, Kamunting dengan nilai keseluruhan kira-kira RM31.01 juta, katanya.

Mengenai sambutan Hari Landskap bertemakan 'Gerakan Rakan Taman Untuk Kesejahteraan Penduduk Bandar', Noh berkata ia disambut lebih 100 Rakan Taman secara serentak di seluruh negara.

"Dianggarkan hampir 10,000 orang kini berada di taman-taman awam dan taman-taman kejiranan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong sambil beriadah," katanya yang kemudian mengiringi Zambry melancarkan Projek Perumahan Rakyat Kamunting di lokasi sama.

-- BERNAMA